Saturday 31 March 2012

perkahwinan itu indah.


Perkahwinan itu adalah sesuatu yang indah... apabila dibina atas dasar keikhlasan dan kerana Allah s.w.t.. Dengan ini, ia boleh diibaratkan syurga di dunia apabila pasangan bijak melayari bahtera perkahwinan mereka.

Suami sebagai nakhoda pelayaran dalam mengendalikan haluan rumahtangga haruslah saling berpersefaham dan berkerjasama dengan isteri yang berperanan sebagai pembantunya dalam urusan rumahtangga seharian tatkala ombak kehidupan membadai. Andainya mereka gagal menegemudikannya, kehidupan perkahwinan mereka pasti akan bertukar menjadi satu pelayaran yang sukar. Maka, pasangan akan melalui berbagai duri dan ranjau di sepanjang pelayaran sebelum sampai kepelabuhan.

Pendek kata, kuat pendayung yang mendayung bahtera perkahwinan, semakin kukuh ikatan perkahwinan pasangan itu. Sebaliknya, jika rapuh pendayungnya, rumah tangga bakal jadi porak-peranda. Sedikit sahaja ujian yang dilalui, cinta akan semakin menyepi, ikatan perkahwinan mula terlerai dan masing-masing membawa haluan sendiri akhirnya.

Dari itu, pasangan mestilah berusaha meyakini diri bahawa mereka berupaya dan mampu menghadapi segala ujian dengan penuh keimanan. Sememangnya setiap ketentuan adalah kuasa Allah s.w.t.. Akan tetapi pasangan haruslah ingat bahawa setiap sesuatu yang terjadi pasti ada hikmahya yang boleh dijadikan iktibar untuk panduan kehidpuan.

...kuat pendayung yang mendayung bahtera perkahwinan, semakin kukuh ikatan perkahwinan pasangan itu.

Pasangan juga perlu memahami bahawa Allah s.w.t telah menjanjikan ganjaran jika mereka dapat melalui ujian yang dihadapi dan menyelesaikannya dengan baik. Dengan erti kata yang lain, ia juga adalah peluang untuk mereka mencari penyelesaian berdasarkan petunjuk Allah s.w.t. dan mendapatkan ganjaran dariNya terhadap usaha mereka. Soal berjaya diselesaikan atau tidak, itu bergantung pada hidayah dan kehendak Allah s.w.t..

Kesimpulannya, dengan berbekalkan ketabahan, ketenangan dan keteguhan jiwa, bahtera yang dilayari pasti dapat menahan tiupan badai di lautan yang besar dan sampai kedestinasinya dengan selamat.

Renungilah surah-surah al Qur'an berikut:

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan, kami beriman, sedangkan mereka tidak di uji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka,...."
(Surah Ankabut ayat 2-3)

"Allah tidak akan membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya."
(Surah al-Baqarah ayat 286)

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.."
(Surah al-Baqarah ayat 216)

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman"
(Surah al-Imran ayat 139)

"..... dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir"
(Surah Yusuf ayat 12)

"Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah-lah hati menjadi tenteram,"
(Surah Ar-Ra'd ayat 28)